Oleh: Irfan Khairi
Cuba renung kembali keadaan kita 4-5 tahun yang lepas. Bagaimana bezanya dengan sekarang? Renungkan pula setahun dua yang lepas. Ada tak apa-apa perubahan? Bagaimana pula dengan beberapa bulan yang lepas? Ada tak sebarang perubahan yang besar pada hidup kita? Ataupun tiada bezanya 4-5 tahun yang lepas, setahun dua yang lepas, beberapa bulan yang lepas dan hari ini, lebih kurang sama sahaja hidup kita.
Pepatah Arab berbunyi "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam"
Amat mendalam maksudnya untuk kita sentiasa memperbaiki diri setiap hari. Akibatnya, perubahan yang lebih positif akan terjadi pada diri kita.
Manusia merupakan insan bertabiat. Tabiat yang sering kita alami adalah perasaan selesa pada keadaan semasa. Untuk kita berubah kearah kebaikan atau keburukan, sememangnya susah oleh kerana tabiat kita tidak membenarkan.
Bagaikan magnet yang menarik kembali diri kita ke aras keselesaan, walaupun sedikit demi sedikit kita cuba melakukan satu perubahan, magnet tersebut akan kembalikan kita ke aras asal.
Jadi apakah yang perlu kita lakukan untuk berubah? Berikut adalah 3 TIP untuk kita berubah!
1. 1. Tenaga, mental dan emosi
Seperti magnet, memerlukan tenaga yang kuat untuk mengasingkan dua magnet. Lagi kuat magnet tersebut, makin kuat juga tenaga yang diperlukan untuk mengasingkannya. Kekuatan diperlukan dari segi tenaga, mental dan juga emosi untuk melakukan sebarang perubahan terutamanya perubahan yang kita impikan adalah besar.
Untuk berubah sekadar untuk bersenam setiap hari di halaman rumah pastinya lebih mudah daripada berubah untuk pergi ke gym seminggu dua kali untuk melakukan senaman yang lebih jitu! Bagaimana pula untuk mengubahkan badan kita menjadi lebih maskulin seperti Arnold Susah-Nak-Eja? Pastinya tenaga, mental dan emosi yang lebih kental diperlukan.
Tidak kira apa sahaja perubahan yang kita ingin lakukan, lebih besar perubahan tersebut, lebih besar tenaga, mental dan emosi kita perlu usahakan.
2. 2. Pengorbanan
"Bekorban apa saja... harta ataupun nyawa" Mesti teringat lagu dendangan P Ramlee! Dalam apa sahaja perubahan, perlu adanya pengorbanan. Pengorbanan bukan sahaja harta (atau nyawa), tetapi juga masa yang perlu dikorbankan. Dalam mencapai apa sahaja kejayaan yang berbaloi, pengorbanan masa diperlukan- masa daripada apa yang kita telah pun selesa.
Mungkin hari- hari kita pulang dari pejabat, balik rumah berehat dan beriadah. Malam hari, menonton TV sampai terlena. Tetapi, sekiranya impian kita adalah untuk berubah dan menjadi usahawan, maka perlu korbankan masa-masa kita yang seperti mana kita telah pun selesa. Mungkin korbankan masa menonton TV, dan alihkan tumpuan kepada membaca buku-buku perniagaan. Ataupun menghadiri majlis-majlis ilmu perniagaan. Ataupun berjumpa dengan usahawan-usahawan yang berjaya dan mempelajari ilmu perniagaan dari mereka.
Sememangnya untuk berubah, kita perlukan pengorbanan. Pengorbanan apa saja!
3. 3. Lakukannya dengan mendadak!
Pernah dengar tak nasihat jika ingin melakukan perubahan, lakukannya sedikit demi sedikit. Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Dan kita akan berjaya berubahkan diri kita! Betul? TIDAK!
Penyelidikan ada mengatakan bahawa sekiranya ingin melakukan perubahan, manusia seringkali melakukannya secara mendadak. Manusia mencapai kejayaan dalam keadaan lonjatan secara tiba-tiba untuk sesuatu masa. Kemudian pada waktu yang lain, lonjatan secara tiba-tiba dilakukan kembali.
Berubah sedikit demi sedikit, sememangnya mempunyai tempatnya, tetapi untuk lebih efisyen dalam berubah, lakukan lonjatan tiba-tiba berbanding dengan berubah sikit demi sedikit.
Sekiranya ingin memberi kesan positif kepada boss kita, bukan dengan cara perlahan-lahan mendapatkan pelanggan sedikit demi sedikit untuk syarikat, tetapi, dengan terus mendapatkan pelanggan yang besar secara mendadak! Pastinya kesan kepada boss anda - dan juga anda, adalah lebih mendalam.
Anggap berubah seperti sebuah kapal terbang. Apabila hendak berlepas, tenaga yang kuat, pengorbanan masa dan juga kelajuan yang mendadak diperlukan. Tanpa tenaga, masa dan kelajuan, pastinya kapal terbang tersebut tidak dapat berlepas. Hanya bergerak dan berpusing-pusing di run-way sahaja! Tetapi, dengan tenaga, masa dan kelajuan, kapal terbang boleh berlepas ke udara. Dan anda perasan tak apabila kapal terbang sudah di udara, kelajuannya boleh dikurangkan?
Begitu juga dengan manusia yang memerlukan ketiga-tiga elemen di atas untuk melakukan perubahan. Apabila sampai satu tahap perubahan, boleh relax sedikit kerana momentum perubahan kita akan membawa kita mencapai kejayaan yang lebih hebat!
No comments:
Post a Comment